Jumaat, 28 Mei 2010

Sejarah Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia

1. PENDAHULUAN

Sejarah penubuhan PPPM bermula pada tahun 1993 atas daya usaha dan idea YBhg. Prof. Dr. Fatimah Daud, pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Justeru itu, ahli jawatankuasa (AJK) yang bermesyuarat sebulat suara telah melantik Prof. Dr. Fatimah Daud sebagai Presiden PPPM pertama dan kekal hingga ke hari ini. Aktiviti persatuan ini terus berkembang selaras dengan perkembangan semasa di mana pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan telah dijalankan. Sebagai organisasi yang bukan berorientasikan keuntungan , PPPM mendapat bantuan kewangan daripada banyak pihak khususnya daripada pihak kerajaan dan swasta.

2. OBJEKTIF PENUBUHAN
Objektif PPPM antara lainnya adalah untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020 iaitu untuk melahirkan masyarakat penyayang; mengurangkan gejala sosial dengan memberi peluang kepada remaja memenuhi masa lapang mereka dengan menjalankan kerja-kerja sosial dan kebajikan; menanam perasaan ingin membantu mereka yang dalam ksusahan, membantu pelajar-pelajar di kawasan luar bandar dan membuka ruang kepada lepasan sekolah dan universiti untuk mendapatkan kerja yang sesuai dengan kelulusan dan pengalaman masing-masing.

3. VISI
Memupuk Masyarakat Penyayang

4. MISI
Membantu Masyarakat Yang Terpinggir

5. TEMPAT OPERASI
No. 6 Jalan 12/14, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

6. FUNGSI
I) Menjalankan kajian mengenai masalah sosial di Malaysia.
II) Mengadakan seminar-seminar untuk pembangunan sumber manusia.
III) Melatih fasilitator untuk mendidik ibu bapa dengan ilmu pengetahuan mendidik anak-anak dan ilmu keibubapaan.
IV) Membantu menambah pendapatan (income generating) untuk golongan terpinggir seperti penduduk luar bandar, ibu tunggal, belia yang menganggur dan warga emas.
V) Mengadakan klinik-klinik sosial bagi mengatasi masalah sosial di seluruh Malaysia.

7. KUMPULAN SASARAN
I) Pesakit yang sedang mendapat rawatan di hospital
II) Anak-anak yatim
III) Ibu tunggal
IV) Belia
V) Remaja lepasan sekolah
VI) Pelajar sekolah
VII) Graduan yang masih menganggur
VIII) Warga emas
IX) Mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan lain-lain.

PENERANGAN KONSEP

I. LOGO PPPM
Pemilihan logo berlatarbelakangkan geografi Malaysia memberikan kefahaman bahawa PPPM bergiat secara aktif dalam banyak aktiviti kemasyarakatan di seluruh Malaysia. Sebagai sebuah NGO (non-governmental organization) yang berorientasikan khidmat masyarakat, pemilihan logo tersebut dilihat dapat melambangkan keperihatinan, kemurnian, keikhlasan pertubuhan ini untuk membantu kerajaan dalam konteks pembangunan penduduk Malaysia.

AKRONIM BAGI PROJEK KASIH



K KEPRIHATINAN
A ATURAN – ADAT
S SILATURRAHIM
I IKHTIAR
H HASIL/HISAB DIRI
K: KEPRIHATINAN

Projek ini berdasarkan nilai KEPRIHATINAN sosial yang perlu dipupuk dan diberi peluang untuk berkembang ke arah mewujudkan masyarakat yang penyayang. Projek Kasih menganjurkan peluang bagi mereka yang berminat dalam usaha-usaha kesukarelaan bagi mendekati mereka yang difikirkan perlu didampingi atas berbagai sebab seperti keuzuran, keseorangan, ketegangan jiwa, kecacatan dan keperluan-keperluan lain.

A: ATURAN – ADAT
Sebagai satu usaha kesukarelaan bagi mendampingi mereka yang memerlukan, para peserta Projek Kasih perlu berlandaskan peraturan dan adat-adat tertentu kerana perlaksanaan secara bebas dan tanpa batasan bukan sahaja kurang berkesan untuk mencapai sesuatu matlamat malahan boleh menambahkan masalah yang sedia ada pada pihak yang didampingi.

S: SILATURRAHIM
Penyertaan dalam Projek Kasih ini tidak semestinya melibatkan usaha-usaha menyelesaikan sesuatu masalah yang khusus dan berat. Pada asasnya, ia merupakan suatu usaha untuk menjalin hubungan silaturrahim sesama manusia yang tidak mudah berkenalan tanpa penglibatan dalam usaha-usaha seperti ini.

I: IKHTIAR
Penyertaan dalam Projek Kasih menggalakkan para peserta mencari usaha dan ikhtiar yang boleh mereka sumbangkan dalam memperbaiki sesuatu keadaan, dan tidak hanya menunggu orang lain bertindak atau berserah kepada takdir semata-mata.

H: HISAB DIRI
Penyertaan dalam Projek Kasih dapat memberi kesedaran kepada setiap peserta tentang kekuatan dan potensi diri, serta kelemahan dan rintangan yang ada dalam dirinya ketika berdampingan dengan manusia lain yang sebelum ini tidak diketahuinya. Usaha-usaha menghisab diri merupakan langkah permulaan ke arah memperbaiki sebarang kelemahan dan memperkasakan diri bagi membuat sumbangan walau sekecil manapun untuk masyarakat sejagat.

10 PRINSIP PROJEK KASIH
Setiap peserta dalam Projek Kasih perlu menyedari prinsip-prinsip asas projek ini seperti digariskan di bawah:
1. Projek Kasih adalah sebahagian daripada usaha memupuk Budaya Penyayang dalam masyarakat Malaysia.
2. Para remaja dan belia merupakan sasaran utama kerana mereka merupakan generasi pewaris untuk memimpin masyarakat masa depan.
3. Setiap orang yang dilawati mesti dilayan dengan penuh hormat dan sopan tanpa mengira umur, jantina, taraf sosial, agama dan keturunan.
4. Projek Kasih hendaklah ada manfaatnya kepada pihak yang dilawati atau sekurang-kurangnya tidak membawa kerugian dan bebanan kepada pihak tersebut.
5. Penyertaan adalah berdasarkan semangat kesukarelaan.
6. Projek ini dilakukan secara percuma dengan sedikit pampasan bagi menampung perbelanjaan perjalanan dan makan minum.
7. Setiap peserta Projek Kasih perlu mematuhi peraturan serta prinsip-prinsip dan etika projek ini.
8. Kebenaran ibu bapa atau penjaga dan pihak sekolah mesti diperolehi terlebih dahulu. Penganjur projek ini tidak boleh dipertanggung-jawabkan atas apa-apa yang berlaku dalam perjalanan pergi balik serta semasa projek dijalankan.
9. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap peserta perlu mematuhi undang-undang dan tatasusila masyarakat serta segera melaporkan sebarang projek yang berunsur jenayah kepada pihak berkuasa.
10. Penganjur berhak memilih sesiapa yang layak menyertai program ini serta menamatkan penyertaan mereka jika didapati bercanggah dengan prinsip dan etika projek ini.

10 PERATURAN ETIKA

Setiap peserta dalam Projek Kasih perlu mematuhi peraturan-peraturan dan etika projek ini seperti berikut:
1. Segala tingkahlaku dan tindakan peserta tertakluk kepada peraturan dan keizinan yang diberikan oleh agensi/institusi/rumah yang dilawati.
2. Peserta tidak boleh melampaui kekerapan dan jangkamasa sesuatu lawatan kerana ia boleh mengganggu urusan pihak yang dilawati serta boleh mengakibatkan pergantungan yang berlebihan.
3. Ada ketikanya pertolongan perlu dihentikan supaya orang yang ditolong tidak terlalu banyak bergantung kepada peserta projek sehingga melemahkan orang yang ditolong (overly dependent).
4. Anda tidak boleh membuat sumbangan material samada di dalam bentuk hadiah atau wang, secara bersendirian tanpa kelulusan penganjur projek kerana peserta hanya diminta memberi sumbangan pemikiran, emosi dan fizikal.
5. Anda tidak boleh memberi nasihat perubatan dan agama kepada klien kerana nasihat itu mungkin bercanggah dengan nasihat yang diberikan oleh mereka yang pakar dalam bidang-bidang tersebut.
6. Anda tidak boleh meminta atau menerima sesuatu yang berharga dan bermakna milik klien. Jika klien memberi sesuatu sebagai kenangan, sebelum menerima untuk menjaga hatinya, kebenaran penganjur perlu diperolehi terlebih dahulu.
7. Sekali pun anda boleh menerima klien dalam usaha mereka membuat sesuatu yang memerlukan penyeliaan dan sokongan, anda tidak boleh bertindak bagi pihak mereka tanpa persetujuan mereka.
8. Sentuhan yang tidak sesuai atau dalam ketiadaan keperluan yang mendesak terutama sekali di antara bukan muhrim tanpa kehadiran orang ketiga adalah dilarang.
9. Anda tidak boleh memberi sebarang janji kerana dikhuatiri ketidak-upayaan menunaikannya akan mengecewakan klien anda.
10. Anda tidak boleh mengambil kesempatan atas Projek Kasih untuk menjalankan sebarang bentuk perniagaan atau penjualan apa-apa perkhidmatan bagi pihak sendiri atau pun mana-mana pihak.

SIFAT-SIFAT PERIBADI PENDAMPING

Setiap peserta dalam Projek Kasih perlu mempunyai sifat-sifat berikut:
1. Anda selesa ketika bersama dan berhadapan dengan orang lain.
2. Orang lain selesa menghampiri anda untuk meluah dan menceritakan sesuatu.
3. Anda merasakan bahawa mendampingi masyarakat merupakan peluang keemasan untuk berkhidmat berbanding dengan hanya menunggu masyarakat mendekati anda.
4. Anda tahu bila untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin dan bila anda perlu menjadi pengikut yang berdisiplin.
5. Anda lebih selesa memujuk dan meyakinkan orang dan kurang selesa menggunakan kuasa dan paksaan.
6. Anda bersedia bertanya dan meminta bimbingan daripada mereka yang lebih berpengalaman daripada anda.
7. Anda sabar mendengar tetapi tidak takut menyuarakan pandangan secara ikhlas.
8. Anda tidak mengharapkan balasan kerana kepuasan yang anda perolehi.
9. Anda anggap tanggungjawab terhadap masyarakat sama penting dengan tanggungjawab terhadap diri dan keluarga sendiri.
10. Anda yakin bahawa manusia hanya boleh berusaha dan Allah yang menentukan hasilnya.

KEPERCAYAAN TERHADAP MASYARAKAT

Setiap peserta dalam Projek Kasih perlu mempunyai kepercayaan tentang tabii atau fitrah manusia umumnya:
1. Anda mendekati seseorang sebagai manusia yang UNIK dan mempunyai pandangan serta perasaan yang tersendiri.
2. Anda percaya ada sebab-sebab PERIBADI tertentu yang mengakibatkan seseorang manusia mengambil sesuatu tindakan. Sebab-sebab ini perlu difahami supaya tindakan balas yang lebih sesuai dan berkesan dapat dicadangkan.
3. SETIAP manusia mempunyai hak dan kebolehan untuk berfikir. Anda sedar betapa perlunya menghormati kepercayaan orang lain walau pun anda TIDAK BERSETUJU dengannya.
4. SETIAP manusia akan lebih bersedia menerima sesuatu yang baru jika mereka tidak merasa terlalu terancam dengan perubahan baru yang dicadangkan.
5. Manusia lain akan menerima dan menghormati anda hanya jika anda sendiri menerima dan menghormati mereka TERLEBIH DAHULU.
6. Anda sedar bahawa setiap manusia memerlukan SOKONGAN dan PUJIAN untuk memotivasikan mereka melakukan sesuatu. Setiap manusia tidak merasa selesa jika terlalu kerap dikritik dan diberi arahan.
7. Dorongan manusia yang paling lama dan berkekalan pengaruhnya adalah perasaan KASIH sementara yang paling pendek pengaruhnya adalah perasaan TAKUT.

LANGKAH-LANGKAH DALAM PENDAMPINGAN

1. Persediaan diri sebelum mendampingi orang lain
Seseorang yang ingin melakukan pendampingan perlu membuat persediaan diri yang sewajarnya. Persediaan ini termasuklah memahami kenapa pendampingan itu perlu dilakukan; apakah matlamat yang ingin dicapai; apakah faedahnya kepada pihak yang didampingi; serta keadaan dirinya yang sihat dan selesa. Diri yang bersedia akan kelihatan lebih tenang dan ceria, satu keadaan yang dapat menyenangkan pihak yang akan didampingi.
2. Merai semua yang hadir
Cara merai pihak yang didampingi seperti memberi senyuman, bertentang mata semasa memberi salam, dengan cara yang sesuai dan mesra dapat membuat pihak yang didampingi menerima kehadiran pendamping dengan hati yang redha dan terbuka, menyediakan satu suasana yang sesuai untuk berkongsi bersama apa jua pendapat dan masalah. Perlu ditentukan bahawa semua pihak yang hadir perlu dirai dan bukan dengan individu tertentu sahaja.
3. Mendengar luahan
Pendamping perlu menunjukkan keinginan untuk menjalinkan perhubungan yang lebih rapat dengan menunjukkan minat yang jujur untuk mendengar percakapan serta luahan rasa pihak yang didampingi itu. Cara mendengar yang aktif dan ikhlas membuat orang yang didampingi itu merasakan dirinya dihormati dan dihargai. Cara mendengar yang baik juga menentukan pendamping dapat memahami dengan jelas apa yang ingin disampaikan oleh yang didampingi, melalui pemerhatian tingkahlaku serta penelitian percakapannya. Ada percakapan dan luahan rasa sekadar mendapatkan perhatian dan sokongan lisan tetapi ada juga yang memerlukan sesuatu tindakan untuk mencapai sesuatu matlamat yang ingin dicapai.
4. Pencapaian matlamat
Setelah mewujudkan perhubungan mesra dengan yang didampingi, pendamping mungkin dapat mengesan sesuatu masalah yang sedang dihadapi oleh yang didampingi yang memerlukan penyelesaian dengan mencapai sesuatu matlamat yang khusus. Pendamping perlu berbincang dengannya bagi mengenalpasti cara-cara yang sesuai untuk mencapai matlamat tersebut supaya masalah yang sedang dihadapi dapat diselesaikan. Pendamping hanya membantu yang didampingi untuk berfikir dengan jelas dan bertindak tegas bagi menyelesaikan masalah itu, bukan menyelesaikannya bagi pihak yang didampingi. Menyelesaikan masalah yang didampingi akan menggalakkan pergantungan serta melemahkan perasaan bertanggungjawab dan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran hidup.
5. Memberi sokongan dan pujian
Pendamping perlu sentiasa bersedia memberikan sokongan dan pujian kepada sesuatu usaha pihak yang didampingi untuk mencapai sesuatu matlamat hidup. Setiap manusia memerlukan sokongan, dan dari masa ke masa pujian daripada daripada orang lain atas sesuatu usaha yang ingin, sedang dan akan dijalankannya. Sokongan moral serta pujian yang berpatutan ini lama-kelamaan dapat membina keyakinan diri untuk terus bertindak mengatasi segala rintangan dan cabaran hidup walaupun pendamping tidak lagi berada di sisinya.
6. Menemani seseorang yang kesepian
Satu daripada sebab pendampingan dilakukan ialah untuk menemani seseorang yang sedang kesepian, yang memerlukan kawan untuk bercakap ataupun membantunya melakukan sesuatu tugas yang tidak boleh dilakukan bersendirian. Walaupun pendamping berada bersamanya hanya bagi satu jangkamasa yang singkat, ianya sudah memadai oleh kerana ada masanya seseorang ingin bersendirian dan melakukan sesuatu tanpa dibantu oleh pihak lain.
7. Memberikan sesuatu perkhidmatan
Pendampingan mungkin dilakukan bagi memberikan sesuatu perkhidmatan yang diperlukan oleh pihak yang didampingi yang tidak boleh atau mampu dilakukan oleh pihak yang didampingi itu bersendirian. Di dalam konteks institusi, pendamping mungkin perlu menjalankan sesuatu tugas yang diperlukan kerana kekurangan tenaga pekerja.
8. Mendapat izin untuk membuat rujukan
Jika sesuatu keperluan yang penting ataupun sesuatu masalah yang berat tidak dapat ditangani oleh pendamping dan pihak yang didampingi, pendamping perlu menentukan samada pihak yang bermasalah itu ingin dan perlu mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak yang lain. Hanya jika pendamping memperolehi izin daripada pihak yang bermasalah untuk merujukkan masalahnya kepada pihak lain, barulah pendamping wajar melakukannya. Bagaimanapun, di dalam keadaan yang genting dan dharurat keizinan ini tidak perlu diperolehi untuk merujukkan sesuatu keadaan kepada pihak yang bertanggungjawab yang diyakini dapat menolong.
9. Mengakhiri lawatan
Setiap usaha pendampingan perlu berakhir mengikut masa yang ditentukan, iaitu tidak terlalu awal ataupun terlalu lewat daripada masa yang telah ditetapkan. Jika lawatan berakhir terlalu awal, pihak yang didampingi mungkin mengesyaki pihak pendamping tidak menyukainya. Lawatan yang terlalu panjang pula dapat mengganggu pihak yang didampingi yang mempunyai urusan-urusan lain yang tidak dapat dijalankan selagi pendamping berada bersamanya.

Majlis Penyampaian Sijil : Projek Kasih

Majlis Hi-Tea






 

Jumaat, 14 Mei 2010

Selamat Sejahtera

Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia